29 Disember 2007

PROAKTIF: PILIH TINDAKAN ANDA

‘Macam mana saya nak baik, kalau suami saya jenis manusia macam tu?, keluh seorang isteri.


Saya faham Insya Allah, tentang apa yang ustaz cakap. Tapi isteri saya yang masalahnya. Ustaz tak ada buat kursus untuk isteri-isteri?, kata seorang suami.

Apa yang ustaz cakap tu betul, tapi kami orang bawah nak buat macam mana? Teori graviti bukankah atas ke bawah/ Orang atas yang kena dengar benda-benda ni, keluh kerani-kerani dari sebuah bank.

Saya rasa puas hati betul dengan huraian ustaz. Kami di bahagian pengurusan faham Insya Allah. Alangkah baiknya kalau orang bawah faham benda-benda ini, sebab mereka yang nak buat kerja-kerja nanti, kata bos-bos yang berkursus.

Itulah nada-nada biasa yang kita dengar setiap kali mengendalikan kursus. Semua orang meletakkan syarat perubahan kepada orang lain, pada seseorang dan sesuatu yang dia tidak boleh ubah.

Walaupun suami ke atas isteri, bos ke atas pekerja, kita hanya mampu menarik kuda ke sungai, tetapi minum atau tidak, tiada siapa yang boleh memaksanya. Tetapi, itulah yang kita suka harapkan. Harapkan orang berubah supaya kita berubah.

Ini falsafah bangau. Sentiasa menyalahkan pihak lain:

BANGAU OH BANGAU

Bangau oh bangau, kenapa engkau kurus?

Macam mana aku tak kurus, ikan tak mahu timbul.

Ikan oh ikan kenapa tak mahu timbul?

Macam mana aku nak timbul, rumput panjang sangat.

Rumput oh rumput, kenapa panjang sangat?

Macam mana aku tak panjang, kerbau tak makan aku.

Kerbau oh kerbau, kenapa tak makan rumput?

Macam mana aku nak makan, perut aku sakit.

Perut oh perut, kenapa engkau sakit?

Macam mana aku tak sakit, makan nasi mentah.

Nasi oh nasi, mengapa engkau mentah?

Macam mana aku tak mentah, kayu api basah.

Kayu oh kayu, mengapa kau basah?

Macam mana aku tak basah, hujan melimpah turun.

Hujan oh hujan, mengapa kau turun?

Macam mana aku tak turun, katak panggil aku.

Katak oh katak, kenapa panggil hujan?

Macam mana aku tak panggil, ular nak makan aku.

Ular oh ular, kenapa nak makan katak?

Macam mana aku tak makan, MEMANG MAKANAN AKU.

Ya, mujurlah ular berhenti menyalahkan orang lain. Jika ular masih mencari alasan, mungkin nama anda pun akan ada dalam lagu ini. Pelbagai isu akan terlibat. Globalisasi, dasar kerajaan, Orientalis, jiran, bapa mertua? Siapa lagi dalam senarai pihak yang ingin kita salahkan?

Lihat, apabila ular mula mengambil tanggungjawab terhadap AKU iaitu dirinya sendiri, selesai polemik dan masalah di hutan. Ya, masalah boleh menampakkan penyelesaian apabila anda akan mula bercakap tentang AKU, iaitu diri anda, diri saya, diri masing-masing.

Inilah namanya PROAKTIF. Proaktif bermaksud, mengambil kawalan dan tanggungjawab ke atas diri kita sendiri. Kita tidak meletakkan kualiti hidup kita atas sesuatu yang kita tidak boleh kawal.

Ana tak boleh buat apa-apa kalau jalan jem macam ini, memang ana jadi kaki mencarut punya, kata seoarang pemandu di Kuala Lumpur. Susahlah begitu. Mungkin dia kena pindah ke Kampung Bongek, barulah boleh berhenti mencarut.

Kalau cuaca gloomy macam ini, saya memang depressed, kata seoarang pelajar di Galway, Ireland. Emm, dia sudah tersalah memilih tempat belajar. Sepatutnya dia memilih untuk belajar di Tha’if, Arab Saudi atau di Burkina Faso, barulah cuaca cerah sentiasa.

Kenyataan-kenyataan seperti ini, adalah seperti meletakkan remote controller kehidupan kita di pihak lain. Kita gembira atau sedih, kita bahagia atau derita, semua ditentukan oleh orang lain. Cuaca yang akan menentukan mood kita. Ibu bapa yang akan menentukan saya boleh jadi ibu atau bapa yang baik. Bursa saham sahaja yang boleh menentukan tahap senyum dan bahagia saya.

Oh, kehidupan seperti ini adalah kehidupan reaktif. Kita tiada upaya untuk memutuskan tindakan atas pilihan sendiri. Kita hanya mampu memberi reaksi. Hidup begini adalah hidup yang rumit lagi sulit. Masakan tidak, jika ujian kehidupan menentukan kebahagian diri, mampukah kita mencari sebuah kehidupan yang bebas dari ujian?

Berhentilan daripada mencari unsur luar, kerana semua itu ada dalam dirimu. Mahu bahagia atau derita, pilih sendiri. Mahu menafsirkan ujian sebagai kaffarah dari Allah, peluang untuk diperbaiki & memperbaiki atau mahu menafsirkannya sebagai bala bencana penyebab derita lagi sengsara atau mahu menafsirkannya dengan gaya si luncai AKU TIDAK PEDULI SEMUA, anda pilih sendiri.

Mulakanlah perubahan dengan mengubah diri sendiri. Warnakan alam dengan pandangan anda sendiri.........

2 ulasan:

Bumble Bee berkata...

Kak su,last sunday kak su ada tengok tv 2 x,movie tamil (Anniyan). Saya ni bukan la peminat movie tamil tapi citer tu memberi byk pengajaran ada kene mengena dengan apa yg kak su tulis ni....itu jek la saya nak ckp,hehehehe.....

mr.mahid berkata...

chewah..sesekali kak sue menulis, mantap!
teringat masa kecik kecik kat sekolah nyanyi ramai ramai lagu 'bangau oh bangau'..
elok ler lagu tu di'gam' saja kerana mengajar budak sekolah menyalahkan orang lain..(tapi kita mesti selamatkan bangau tu. kesian kat dia...)